Alhamra, redONE Penaja Utama TRW
by Siti Fatihah Awang
SELEPAS Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hampir berputus asa untuk mencari dana, akhirnya Kumpulan Alhamra dan Red One Sdn Bhd mengesahkan menjadi penaja utama pasukan The Red Warriors (TRW) musim ini.
Kedua-dua syarikat yang dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa itu sekali gus dikatakan menjadi ‘penyelamat’ dan talian hayat terakhir pasukan Kelantan untuk terus menyarung jersi dan bersaing dalam Liga-M yang akan bermula tidak lama lagi.
Bekas Presiden Kafa itu dalam satu sidang media di sini memberitahu, bukan hanya menaja pasukan malah pihaknya juga telah bercadang untuk menubuhkan satu konsortium yang diketuai syarikat miliknya bagi memudahkan pengurusan mendapatkan dana dan sebagainya.
“Konsortium ini akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah syarikat lagi untuk mendapatkan dana. Setakat ini sudah ada tiga syarikat yang bersedia bersama dengan konsortium tersebut.
“Saya sasarkan untuk mendapatkan RM10 juta bagi memastikan TRW tidak berdepan masalah kewangan di kemudian hari selepas ini. Berikan saya masa sehingga 14 Januari ini untuk bentuk konsortium itu,” katanya kepada media di sini.
Post a Comment